fbpx

21 Oktober 2021, 11:29 am

  TERKINI

INCEIF lantik tiga Ahli Lembaga Pengarah baharu

MOHD. IZANI GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Kewangan Islam Antarabangsa (INCEIF) melantik tiga Ahli Lembaga Pengarah (BOD) baharu dalam usaha memperkuatkan penglibatan dan impak di dalam industri pendidikan global.

Mereka adalah Pengarah Eksekutif UEM Group Berhad, Datuk Mohd. Izani Ghani; Ketua Pegawai Eksekutif Wanita Berdaya Selangor, Siti Kamariah Ahmad Subki dan rakan kongsi di Princeton Stone House Capital yang juga Penasihat Kanan UNDP. Dr. Aamir A. Rehman.

Pengerusi Lembaga Pengarah INCEIF, Tan Sri Azman Mokhtar berkata, ketiga-tiga Ahli Lembaga Pengarah baharu itu mempunyai pengetahuan dan pengalaman sangat luas dan berharga di dalam pelbagai bidang.

“Saya yakin mereka akan menggunakan kepakaran mereka untuk memperkuatkan lagi penglibatan dan impak INCEIF di dalam industri pendidikan global.

“Justeru, ia juga bakal menjamin masa depan yang inklusif, saksama dan lestari untuk generasi akan datang. Semuanya bakal dilaksanakan melalui kurikulum, penyelidikan gunaan dan kolaborasi yang telah diusahakan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut INCEIF, Mohd. Izani yang mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang pelaburan dan pengurusan, merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Pelaburan di Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) sebelum dilantik sebagai Pengarah Eksekutif di UEM Group.

Ketika di Khazanah, beliau dipertanggungjawabkan untuk mengurus operasi cawangan di Turki. Beliau juga pernah menjawat jawatan Ketua Pegawai Kewangan di Khazanah, di mana badan pelaburan strategik kerajaan tersebut berjaya melaksanakan pelbagai transaksi sukuk yang bersejarah sepanjang pentadbirannya.

SITI KAMARIAH AHMAD SUBKI

Mempunyai kelayakan sebagai akauntan bertauliah, Siti Kamariah memulakan kerjaya beliau sebagai akauntan pengurusan pada 2004 di Hudson, Sydney, Australia (tersenarai di dalam NASDAQ) sebelum pulang ke Malaysia untuk menyertai PricewaterhouseCoopers.

Beliau seterusnya berkhidmat bersama Khazanah dan pernah dilantik sebagai Penasihat Ekonomi, Kewangan dan Sektor Swasta di UN World Humanitarian Summit dan sekretariat untuk UN High-Level Panel for Humanitarian Financing yang membincangkan penggunaan kewangan sosial Islam di dalam kerja-kerja kemanusiaan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York.

DR. AAMIR A. REHMAN

Memiliki kewarganegaraan Amerika, Dr. Aamir merupakan rakan kongsi di Prince Stone House Capital, syarikat pelaburan strategik berpusat di New Jersey, Amerika Syarikat.

Beliau juga adalah Penasihat di Fajr Capital, Syarikat Ekuiti Persendirian terletak di Dubai di mana beliau turut merupakan pengasas dan pengarah pengurusan syarikat tersebut.

Dr. Aamir juga merupakan Penasihat Kanan untuk Program Pembangunan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dan Konsultan untuk bahagian Kewangan dan Pelaksanaan Pemasaran Global di Bank Dunia.

Beliau juga Felo Kanan di The Richard Paul Richman Center for Business, Law, and Public Policy di Columbia University.

“INCEIF mempunyai kelebihan kerana universiti ini berjaya mengumpulkan tenaga pakar kewangan Islam terdiri daripada ahli-ahli akademik dan pakar-pakar industri di bawah satu bumbung. Berbekalkan fakulti yang kukuh dan penuh pengalaman, INCEIF mampu merapatkan jurang antara keperluan akademik dan permintaan industri bagi graduan-graduannya,” katanya.

INCEIF ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada 2005 untuk membangunkan insan dan meningkatkan kepimpinan ilmu di dalam industri kewangan Islam.

Pada 2019, INCEIF tersenarai sebagai Very Competitive (5-Bintang) oleh Penarafan Bersepadu Institusi Pendidikan Tinggi Malaysia (SETARA).

Pada November 2018, INCEIF menerima akreditasi penuh daripada AACSB Antarabangsa, menjadikannya antara institusi pengajian bisnes yang berada di 5 peratus teratas di dunia. INCEIF merupakan satu-satunya universiti kewangan Islam di Malaysia yang meraih akreditasi antarabangsa itu. – UTUSAN

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN